Hits1 masih unggul bertahan di hati peminat dan berjaya kekal memeriahkan industri muzik tanahair hingga musim ke-7.  Bermula pada tahun 2003 Hits1 terus mendapat perhatian dan mempunyai kelompok peminat yang tersendiri.  Masih mempertaruhkan pertandingan berdasarkan klip video, pencalonan yang diterima daripada artis-artis ternama tanahair setiap musim  amat memberangsangkan.  Ini boleh dilihat daripada finalis dan pemenang daripada musim pertama iaitu Misha Omar ( Pulanglah), musim ke-2 Jaclyn Victor (Gemilang), musim -3 Yazer & Felix mewakili M.Nasir & Mawi ( Lagu Jiwa Lagu Cinta), musim-4 Adibah Noor ( Terlalu Istimewa), musim-5 Ramlah Ram (Ketentuan) dan yang terkini untuk musim-6 Meet Uncle Hussain dengan Lagu Untukmu berjaya membawa pulang trofi, seiring dengan kegilaan penonton dengan band indie sekaligus mengangkat martabat pelbagai genre muzik tanahair.

                                                                                                                                

Bertunjangkan dua pengacara hebat E’one dan Nabila Huda, Hits1 musim 7 menjanjikan pendekatan yang berbeza dari musim – musim sebelum ini.  Musim ke 7 ini Hits1 akan keluar menjelajah ke seluruh Negara untuk bertemu peminat dengan lebih dekat pada setiap Sabtu jam 3.00 petang – 4.00 petang menerusi TV2. Penjelajahan bermula pada minggu pengenalan, 4 April 2009 dengan menyaksikan Hits1 bersiaran langsung dan bertemu penonton setia di Stesen Sentral, Kuala Lumpur bersama artis jemputan Misha Omar dan Kumpulan 6ixth Sense. 

 

Sambutan yang luar biasa daripada peminat Hits1 akan mengiringi kami ke destinasi seterusnya.  Antara tempat –tempat yang bakal dikunjungi oleh Hits1 adalah seperti Sunway Lagoon,  Menara Kuala Lumpur, Plaza Alam Sentral, Pasar Seni dan pelbagai lagi tempat menarik di seluruh negara.  Selain itu, penonton yang hadir ke lokasi kami akan berpeluang untuk mengacara bersama Nabila & E’one, menyanyi bersama artis jemputan serta mendapat cenderahati daripada Hits1 semasa siaran langsung.

 

Format rancangan keseluruhan maíz dikekalkan, hanya format carta diubah dari segi tempoh untuk mengundi yang lebih panjang (4 minggu)agar penonton berpeluang mengundi lebih lama artis pujaan mereka dan  menentukan siapa yang layak untuk ke peringkat akhir. Tetapi untuk peringkat akhir yang dijangka dalam bulan March 2010, masih menggunakan khidmat juri professional untuk menentukan lagu yang menjadi juara.

 

Peminat–peminat HITS1 boleh mendapatkan maklumat lokasi siaran langsung dan maklumat-maklumat carta dengan melayari laman web www.hits1.com.my atau menghantar maklumbalas di Facebook Hits 1.